Tuesday, June 14, 2005

lima syarat elak melakukan *maksiat*
Lima syarat Ibrahim Adham elak lakukan maksiat

"WAHAI yang mulia Ibrahim, selama ini aku gemar melakukan maksiat. Tolong berikan aku nasihat agar aku tidak mengulangi perbuatan itu?” Kata seorang lelaki kepada ulama dan ahli sufi Ibrahim bin Adham. Setelah mendengar perkataan itu, Ibrahim berkata dalam bentuk sindiran;
"Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat."Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"Ibrahim bin Adham berkata;
"Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia menaikkan kening seraya berkata; "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"
"Syarat kedua, kalau mahu melakukan maksiat, jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya; "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?""Ya! Anda benar!" kata lelaki itu.
Dia kemudian menanyakan syarat ketiga. Ibrahim menjawab; "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata; "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim.
Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.Ibrahim selanjutnya menerangkan: "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, “Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?""Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"
"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringimu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."Perkataan itu membuat lelaki itu insaf. Dia berkata: "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah," katanya.

..wahai saudara ku..
-- janganlah pernah engkau ingkar dengan apa yang diperintahkan oleh yang maha esa dan janganlah sesekali engkau mendekati yang dilarangnya..


washed away 12:09:00 am* -0-